MBPP: Sampah punca ‘banjir’ di jalan tertinggi di Malaysia

0
2

SAMPAH dan daun kering dikatakan menjadi punca Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) di Georgetown, Pulau Pinang yang dikatakan struktur jalan raya bertiang tertinggi di Malaysia mengalami banjir kilat apabila digenangi air dalam kejadian jam 6.30 petang tadi.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menjelaskan takungan air dikesan di penghujung jejantas Bukit Kukus menghala ke Jalan Tun Sardon disebabkan hujan lebat.

“Siasatan telah dibuat dan mendapati bahawa terdapat daun-daun kering dan sampah sarap yang telah menghalang laluan air keluar dari sistem perparitan dengan sempurna.

“Kerja-kerja pembersihan telah dilaksanakan segera dan laluan tersebut kembali sempurna dan selamat digunakan oleh orang awam,” katanya di Facebook.

Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan berkenaan meminta orang ramai supaya menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah sewenang-wenangnya untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

Video kejadian ‘banjir’ di jalan tertinggi di Malaysia itu dikongsi pengguna jalan raya yang memaparkan air bertakung hampir 0.5 meter pada sebahagian jalan tersebut.

Jalan yang menelan kos pembinaan RM378 juta itu dirasmikan pada 13 Januari lalu setelah mengambil masa enam tahun pembinaan.

Ia dikatakan jalan raya tertinggi di negara ini apabila dibina di atas tiang setinggi 61.5 meter dan mengalahkan ketinggian Lebuh Raya Rawang-Serendah (Rawang Bypass) yang setinggi 58.2 meter-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here