Henti rundingan PH dengan Muda, cadang AMK Johor susulan Syed Saddiq bidas wakil rakyat PKR

0
1

NAIB Ketua Angkatan Muda Keadilan Johor mencadangkan perbincangan untuk menjalinkan kerjasama di antara Pakatan Harapan (PH) dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dihentikan susulan tindak tanduk Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Faezuddin Puad berkata tindakan Presiden Muda itu menyerang PH secara terang-terangan tetapi meminta kerusi untuk bertanding pada PRN Johor disifatkan sebagai tidak logik.

“Kalau begini cara Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, elok henti runding dengan MUDA.

“Nak minta kerusi daripada PH tetapi serang PH secara terang. Logik ke?,” tulisnya di Facebook.

Faezuddin merujuk tindakan Syed Saddiq yang seolah-olah menyerang dan membidas Ahli Dewan Undangan Negeri Ulu Tiram, S Gopalakrishnan dari PKR menerusi hantaran di Facebooknya.

“Komuniti India di Ulu Tiram mengadu, pimpinan di sini tak ambil endah kebajikan rakyat. Dipilih oleh rakyat, dapat peruntukan tapi amanah rakyat dibuang.

Bantuan yang sepatutnya rakyat dapat, tak sampai. Tak bertanggungjawab.

“Rakyat di Ulu Tiram dah muak. Nak perubahan, nak pimpinan yang berkhidmat untuk rakyat,” tulis Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar.

Syed Saddiq bagaimanapun memohon maaf dan mengakui kesilapannya membuat hantaran berhubung lawatannya ke Ulu Tiram yang telah merendahkan tugas dan tanggungjawab Gopalakrishnan.

Syed Saddiq dilaporkan berkata perbincangan antara Muda dengan PH bagi mendepani PRN Johor berjalan dengan lancar.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai hasil perbincangan itu serta jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh Muda dalam PRN Johor kali ke-15 itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here