
Fitri Nizam
SEMUA 53 Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP menyokong sepenuhnya kepimpinan Pengerusi Pakatan Harapan, Daruk Seri Anwar Ibrahim dan memberi kepercayaan untuk membentuk kerajaan.
Presidennya, Mohamad Sabu, berkata pihaknya mengambil maklum pengumuman yang dibuat Presiden PKR yang telah memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen.
“Seperti yang telah diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum ini, Parti AMANAH mengesahkan bahawa semua 11 orang Ahli Parlimen Parti Amanah Negara menyokong sepenuhnya kepimpinan Datuk Seri Anwar sebagai Pengerusi Pakatan Harapan dan memberikan kepercayaan kepada beliau untuk membentuk kerajaan baharu,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata Ahli Parlimen DAP menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya beliau cukup bilangan untuk membentuk kerajaan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Anwar ysng mendakwa memiliki sokongan majoriti Ahli Parlimen sekali gus menyebabkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang.
Anwar berkata, sokongan diterimanya adalah daripada pelbagai parti malah majoriti sokongan diterimanya adalah di kalangan Ahli Parlimen Melayu.
Anwar mendakwa sokongan diterimanya bukanlah majoriti mudah sebaliknya majoriti konklusif yang kukuh.
Bagaimanapun, jumlah sokongan diterimanya tidak didedahkan lagi. – Malaysiapost
