Anwar dakwa ada majoriti, tapi gagal umum jumlah sokongan

0
1

Aiman Hanif

PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa telah mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan baharu menggantikan Perikatan Nasional (PN), enggan mendedahkan jumlah sokongan Ahli Parlimen menyokongnya.

Dengan alasan bahawa jumlah itu akan dimaklumkan selepas dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong yang kini sedang mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Saya sebut jumlah menyakinkan, jauh lebih daripada majoriti lima ke 10.

“Mengapa tak mahu sebut, sebab saya letak penghormatan kepada kedudukan Duli Yang Maha Mulai Agong, sepatutnya perkara terperini ini harus dimaklumkan Agong terlebih dahulu,” katanya dalam sidang media khas di ibu negara, hari ini.

Untuk rekod ini bukan kali pertama Anwar mendakwa memiliki sokongan bagi membentuk kerajaan dan menjadi Perdana Menteri.

Malah pada tahun 2008 beliau mendakwa mempunyai jumlah mencukupi untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan yang ketika itu dipimpin BN.

Anwar ketika itu mendakwa akan mengambil alih Putrajaya pada 16 September 2008.

Dalam pada itu, Anwar mendakwa pengumumannya hari ini tidak mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung Sabtu ini.

“Sabah itu pilihan raya sedang berjalan dan tidak terkait dengan apa saya umumkan .

“Saya umum sebaik saja jumlah jelas dan surat (telah) dihantar kepada Agong,” katanya lagi.- Malaysiapost