Zero ajak rakyat Sabah keluar mengundi

0
4

Nurul Huda Abhar

KUMPULAN pelawak adik-beradik, Zero mahu seluruh rakyat Sabah keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia.

Atu, 28, salah seorang ahli kumpulan itu memberitahu bahawa tidak wujud perbezaan antara Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.

“Dekat Semenanjung duit RM50 tu warna biru. Dekat Kudat, KK (Kota Kinabalu) Sabah juga warna biru. Tapi kenapa kita tidak dapat sama rata?

“Sebab kita tidak berjuang untuk apa yang betul sekarang ini. Contoh kerajaan BN (Barisan Nasional), 63 tahun pegang (memerintah). Tengok macam mana Sabah, naik sana naik sini (membangun).

“22 bulan diorang (Warisan) pegang apa yang banyak? Alasan,” katanya dalam program bual bicara bersama Adun Layang-layang, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga cicit kepada pengasas Umno, Allahyarham Datuk Onn Jaafar.

Tambah Atu, rakyat harus keluar mengundi terutamanya bagi golongan belia jika mahu melihat pembangunan kembali dilaksanakan Sabah

Katanya, golongan belia harus memainkan peranan bagi memastikan kemenangan BN supaya nasib rakyat Sabah terus dibela.

“Kepada semua orang umur macam saya, yang boleh mengundi, kita turun Sabah kita balik, kita ada kuasa untuk tukar.

“Bila kita sudah tukar macam-macam apa yang kita minta Insya-Allah kita dapat,” katanya lagi.

PRN Sabah diadakan lebih awal daripada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), berikutan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah pada 30 Julai lalu.

Sebanyak 73 kerusi DUN Sabah akan dipertandingkan pada PRN Sabah dengan penamaan calon pada 11 September lalu, manakala hari mengundi awal berlangsung, semalam.

Kenyataan itu juga disokong oleh abangnya, Sharif, turut menyeru semua anak kelahiran Sabah yang kini berada di Semenanjung pulang mengundi pada PRN Sabah pada Sabtu ini.

Sharif, 30, berkata, suara anak muda berperanan besar bagi memilih kerajaan yang layak mentadbir Sabah selepas ini.

“Paling penting suara anak muda, kamulah penentu. Banyak remaja yang ada dekat sini (Semenanjung) orang-orang Sabah.

“Balik kamu, kita bagi tentu kita punya masa depan,” ujarnya.

Pernah menjuarai Maharaja Lawak Mega 2014, kumpulan Zero yang dianggotai Sharif, Syaiful dan Atu ini berasal dari Kudat, Sabah.

Kumpulan ini cukup sinonim dengan tagline ‘pantang mundur kecuali operas’ ini bangkit dari kehidupan susah mereka dan kini menjadi diantara kumpulan pelawak yang terkenal di Malaysia. -Malaysiapost