PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan penamaan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai calon Ketua Menteri (KM) Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu bukanlah perbuatan khianat kepada Umno.
Beliau yang juga Presiden Bersatu, berkata tindakan itu dibuat susulan Umno tidak mencalonkan sesiapa sebagai calon KM Sabah sehingga habis kempen ketika itu dan ia adalah fakta.
“Datuk Seri Najib mungkin tak faham bahasa saya. Bila saya kata Umno tidak mencalonkan sesiapa sebagai calon KM Sabah sehingga habis kempen itu fakta.
“Takkanlah saya nak tunggu sehingga habis kempen baru nak dinamakan calon,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan kritikan Najib yang mendakwa pemimpin Bersatu telah awal-awal lagi merancang untuk mengkhianati Umno sejak dalam PRN Sabah dan beliau dikatakan memutar belit mengenai perkara itu.
Muhyiddin turut menjelaskan bahawa semasa mengumumkan Hajiji sebagai calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, beliau turut bercakap secara berhemah kemungkinan rakan dalam PN setuju Hajiji dilantik sebagai KM.
“Saya beri bayangan ‘manalah tahu kalau rakan-rakan dalam PN, Barisan Nasional (BN) dan yang lain pun bersetuju, Hajiji adalah yang terbaik kita nak tawarkan sebagai calon memimpin negeri Sabah’.
“Saya ulang, saya beri bayangan kalau rakan-rakan lain bersetuju. Saya cakap secara berhemah. Kalau Dato’ Seri Najib tak faham bahasa saya, saya nak buat macamana?” katanya.
Beliau turut berkongsi pautan laporan berita mengenai kenyataan yang dibuatnya itu. – Malaysiapost

