Apabila ‘abang besar’ mula mengugut – Asyraf Wajdi

0
1

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpendapat selagi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berterusan diancam kerana bukan daripada komponen parti terbesar selagi itulah segala usaha memulihkan negara terbantut.

Menurutnya, ramai keliru dengan mendakwa bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana yang jadi Perdana Menteri adalah Umno.

“Hakikatnya, ini bukan kerajaan BN/Umno, tetapi sebuah kerajaan campuran atau lebih tepat Kerajaan Perikatan Nasional (PN) 2.0 atau dijenamakan sebagai Kerajaan Keluarga Malaysia.

“Realitinya, Umno hanya mempunyai 37 kerusi Parlimen (jika ditambah MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menjadikan 41), sedangkan PN menjadi komponen terbesar dengan 53 kerusi (Bersatu=32 + Pas=18 + STAR=1 + Bebas=2).

“Komponen lain yang membentuk kerajaan termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) = 18 dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) = 2,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sebab itulah apabila Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mula mendedahkan dengan nada mengugut bahawa sokongan PN kepada Ismail Sabri adalah bersyarat, pastinya mampu menggoyahkan kedudukan kerajaan.

Beliau berkata, sememangnya antara syarat utama apabila Perdana Menteri kesembilan dilantik, sokongan bersyarat termasuklah untuk dikekalkan anggota kabinet yang sama di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Seperti Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan lain-lain.

“Dalam kondisi dan situasi sebegini pastinya tidak mudah bagi seorang Perdana Menteri yang bukan mewakili parti terbesar dalam kerajaan untuk menentukan hala tuju jelas.

“Apatah lagi mahu melakukan tindakan berani memperkenalkan dasar-dasar berkepentingan rakyat jika sentiasa diugut dan diancam (tekan butang/tarik sokongan) daripada parti seperti PN yang mempunyai komposisi terbesar,” katanya.

Justeru, menurutnya negara tidak akan mungkin mampu stabil dan memperoleh keyakinan dan kepercayaan komuniti perniagaan apatah lagi pelabur asing jika kerajaan tiada mandat sebenar rakyat dan boleh berubah dan diugut bila-bila masa.

“Sebab itulah pendirian saya dan Pemuda Umno sejak dari awal tidak pernah bersetuju untuk mendirikan kerajaan melalui pintu belakang.

“Cuma menghormati titah Agong yang tidak bersedia membubarkan Parlimen tatkala rakyat berhadapan dengan pandemik ketika jatuhnya kerajaan PH selepas Tun Dr Mahathir Mohamad letak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun persefahaman awal dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional (MN) antara Umno dan Pas, memutuskan penyertaan dalam kerajaan pada 1 Mac 2020 hanyalah untuk sementara waktu bagi menstabilkan negara sebelum menyerahkan kembali mandat mutlak kepada rakyat.

“Justeru, jika ugut-mengugut sebagaimana kenyataan Ketua Penerangan Bersatu dan Presidennya sendiri sebelum ini berterusan bahkan dasar-dasar berkepentingan rakyat seperti pengeluaran KWSP RM10,000 sukar hendak dilaksanakan.

“Maka jalan penyelesaian terbaik untuk mengembalikan kestabilan negara ialah diserahkan kembali mandat kepada rakyat. Selagi tiada mandat rakyat selagi itulah kerajaan tidak akan memperoleh keyakinan dan kepercayaan pelabur.

“Selagi Perdana Menteri berterusan diancam kerana bukan daripada komponen parti terbesar selagi itulah segala usaha untuk memulihkan ekonomi pasti terbantut hingga menjejaskan kemakmuran rakyat dan kestabilan negara,” tegasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here