MALAYSIA mencatatkan peningkatan kes kanser sebanyak 11 peratus atau 115,238 kes bagi tempoh 2012 hingga 2016 berbanding 103,507 kes sepanjang 2007 hingga 2011.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata kematian akibat kanser adalah sebab utama kematian di hospital-hospital swasta iaitu 34.95 peratus.
Beliau berkata, di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula kanser adalah sebab lematian keempat tertinggi iaitu 11.56 peratus dan menjadi antara 10 sebab utama kemasukan ke hospital swasta atau kerajaan.
“Di Malaysia, tiga jenis kanser paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki adalah kanser kolorektal atau us besar, kanser paru-paru dan kanser prostat.
“Dalam kalangan wanita pula adalah kanser payu dara, kanser kolorektal dan kanser serviks,” katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Kanser Sedunia, hari ini.
Khairy berkata, kadar kelangsungan hidup relatif bagi pesakit-pesakit kanser setelah lima tahun disahkan menghidap kanser adalah 11 peratus untuk kanser paru-paru, 51.1 peratus kanser kolorektal, 51.6 peratus kanser serviks dan 73 peratus kanser payu dara.
“Sebanyak 63.7 peratus dari keseluruhan kanser dikesan pada tahap lewat (tahap tiga dan empat) dan tahap kanser semasa penyakit ini dikesan menyumbang kepada kadar kelangsungan hidup pesakit,” katanya.
Beliau berkata, kanser bukan sahaja memberi kesan negatif kepada pesakit, tetapi ia turut memberi kesan negatif temasuk psikososial dan ekonomi kepada keluarga serta pembangunan ekonomi negara.
Menurutnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan satu pertiga daripada kematian akibat kanser adalah dikaitkan dengan pengambilan tembakau, berat badan berlebihan, pengambilan alkohol berlebihan, kurang pengambilan sayur dab buah-buahan serta tidak aktif secara fizikal.
“Untuk makluman pengambilan tembakau adalah faktor risiko paling penting untuk kejadian kanser dan ia menyumbang kepada 22 peratus kes kematian akibat kanser.
“Anggaran kos untuk merawat Penyakit kanser paru-paru akibat merokok adalah RM132.7 juta,” katanya.
Khairy berkata, menyedari perkara itu KKM kini sedang meneliti pelaksanaan larangan merokok dan pemilikan sebarang produk merokok kepada generasi akan datang melalui peruntukan berkaitan ‘Generational End Game’ di dalam akta baharu iaitu Akta Kawalan Tembakau dan Merokok yang akan dibentangkan nanti.
“Pelaksanaan ini diharap dapat mengurangkan jumlah perokok baharu dan dengan itu, KKM boleh menumpukan perhatian kepada kos beban rawatan pesakit sedia ada,” katanya. – Malaysiapost

