Peniaga ikan hadapi empat tuduhan bunuh 4 beranak

0
1

SEORANG peniaga ikan yang memandu di bawah pengaruh dadah sehingga terbabit dalam kemalangan menyebabkan kematian empat beranak di Bentong bulan lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini, atas tuduhan membunuh kesemua mangsa.

Selain empat tuduhan membunuh empat beranak itu, Ahamad Fuad Mohd Salleh, 44, turut berdepan dua lagi pertuduhan iaitu memiliki dan menggunakan dadah jenis methamphetamine seberat 0.75 gram, namun mengaku tidak bersalah.

Semua enam pertuduhan itu dibaca secara berasingan terhadap tertuduh di hadapan Majistret, Shahrul Ekhsan Hasim, lapor Berita Harian.

Bagi empat pertuduhan pertama, Ahamad Fuad didakwa membunuh Raihan Mohamad, 43; Dalili Mohd Nazri, 24; Ahmad Muaz Mohd Nazri, 7 dan Ahda Imtinan Mohd Nazri, 5.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh di Kilometer (km) 2, Jalan Lebu-Felda Mempaga, jam 2.30 petang pada 28 Januari lalu.

Ahamad Fuad dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Ahamad Fuad bagi empat pertuduhan itu.

Prosiding pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, S Punitha, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Farah Idayu Nusi.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 16 Mac ini untuk sebutan semula kes dan laporan kimia serta bedah siasat.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pemandu kereta Nissan Navara didapati positif dadah sebelum merempuh kereta pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire sehingga mengorbankan empat beranak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here