Lebih 100,000 keluarga terjejas akibat banjir di Selangor

0
2

LEBIH 100,000 permohonan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) diterima oleh kerajaan negeri membabitkan mangsa bencana banjir yang melanda sembilan daerah di Selangor pada hujung Disember lalu.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, berkata angka terkini yang diperoleh bagi permohonan bantuan tersebut adalah sebanyak 109,000 keluarga.

Beliau berkata, sebahagian besar daripada permohonan itu adalah membabitkan daerah Klang dan Petaling yang kini mengalami sedikit kelewatan pengagihan bantuan wang tunai berkenaan.

“Sehingga tengah hari semalam, sebanyak 55,425 keluarga yang terjejas akibat banjir telah menerima BSB RM1,000 setiap keluarga merangkumi sembilan daerah di Selangor.

“Sebanyak 13 keluarga yang telah kehilangan ahli keluarga susulan bencana itu pula diberikan RM10,000 bagi setiap keluarga.

“Menjadikan jumlah keseluruhan yang telah disalurkan kepada mangsa yang terkesan banjir adalah sebanyak RM55.555 juta,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, terdapat sejumlah peruntukan permohonan di daerah Klang dan Petaling yang masih lagi belum menerima BSB atas beberapa sebab termasuk permohonan yang tinggi selain permohonan bertindih oleh ahli yang bukan ketua keluarga.

“Di Klang sahaja permohonan yang diperoleh adalah sebanyak 77,000 yang sebahagiannya adalah permohonan lewat dan ada yang permohonan bertindan.

“Justeru kita terpaksa membuat saringan yang dijangka akan dapat diselesaikan bagi daerah Petaling minimum akhir minggu depan membabitkan 10,000 hingga 12,000 permohonan

“Manakala untuk daerah Klang ada lagi lebih kurang 30,000 permohonan yang belum diselesaikan dan dengan kapasiti 1,000 permohonan diproses yang akan dipertingkatkan lagi dan dijangka akan selesai hujung bulan ini,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya kerajaan negeri perlu menyalurkan sebanyak RM109 juta yang sebahagiannya sudah disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here