SIASATAN terhadap pendakwah terkenal, Ebit Lew berhubung kes gangguan seksual kini pada peringkat akhir.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata pihaknya hampir melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk semula kepada pejabat Peguam Negara (AGC).
Beliau berkata, ia susulan ada beberapa input perlu ditambah baik melibatkan siasatan tersebut.
“Kita telah hantar ada yang perlu diperbetulkan sebelum dihantar semula ke AGC dalam masa terdekat.
“Proses itu memang di peringkat akhir dan kita akan selesaikan secepat mungkin,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.
Pada 29 Disember lalu, Abd Jalil mengesahkan kertas siasatan melibatkan pendakwah berusia 37 tahun itu telah lengkap dan diserahkan ke AGC untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu maklum balas AGC untuk tindakan selanjutnya.
Siasatan terhadap Ebit dilakukan selepas polis menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.
Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ebit dirakam percakapan sebanyak dua kali membantu siasatan mendakwa dakwaan itu berunsur fitnah kejam ke atas dirinya. – Malaysiapost

