CAP sambut baik usaha kerajaan stabilkan harga barang

0
1

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan tindakan kerajaan menstabilkan harga barangan seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 31 Januari lalu.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan bagi menetapkan harga siling runcit ayam pada harga RM8.90 di Semenanjung.

Katanya, keputusan itu dibuat kerajaan walaupun terpaksa menyediakan subsidi bagi menampung harga tersebut untuk pengguna.

“Kami berpandangan positif terhadap keputusan kerajaan mengekalkan harga telur gred A, B dan C pada harga Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) terkini.

“Kami berpendapat kerajaan perlu memantau dan menerima aduan dari pengguna jika didapati peniaga menaikkan harga.

“Manakala, pengguna perlu menggunakan saluran betul apabila mendedahkan terdapat peniaga yang cuba meraih keuntungan berlebihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, CAP juga menyokong ketegasan dan campur tangan kerajaan walaupun pihak penternak meminta harga ayam di ladang dinaikkan yang pastinya mempengaruhi harga pasaran sehingga mencecah melebihi RM10 sekilogram.

“Bagaimanapun kerajaan perlu melihat secara serius keperluan mewujudkan pengeluaran makanan ternakan di dalam negeri untuk mengekang isu input makanan haiwan dari luar negara yang mahal.

“Ia termasuk dengan membenarkan pihak Hypermarket mengimport ayam bulat dari negara luar dengan syarat pematuhan terutama dari segi halal dan kesegaran serta kebersihan adalah langkah jangka pendek.

“Namun pendekatan yang terbaik adalah untuk memperkukuhkan pengeluaran dalam negara secara lestari,” katanya.

Terdahulu, CAP turut hadir di dalam mesyuarat tersebut yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan diberi ruang untuk menyampaikan pandangan di dalam mesyuarat tersebut.

Beliau berkata, CAP turut bersetuju dengan tindakan kerajaan mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC), termasuk agensi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan kajian dan siasatan agar tidak wujud kartel harga serta manipulasi orang tengah dalam industri pengeluaran dan bekalan ayam.

“Pihak berkuasa yang berkenaan perlu menyegerakan penyelidikan berkenaan alternatif makanan ayam supaya negara tidak diancam dengan harga jagung, soya dan ubat-ubatan yang sekarang ini 100 peratus diimport dari negara luar.

Beliau berkata, CAP turut meminta kerajaan mengurangkan pergantungan kepada import makanan dari luar negara sebaliknya fokus untuk mewujudkan pengeluaran makanan ternakan di dalam negara.

“Jadi, kami menyarankan agar pihak kerajaan benar-benar menilai kembali penggunaan tanah dengan memberi penekanan kepada soal pengeluaran makanan asas. Pergantungan kepada import makanan dari luar negara harus diatasi dengan segera,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here