KENYATAAN Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Umno mengamalkan politik sempit sebagai tidak benar, tegas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.
Beliau berkata, kenyataan bahawa Umno hanya mahukan PAS sahaja adalah tidak betul, sebaliknya Barisan Nasional (BN) mempunyai parti komponen lain seperti MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
“Kita juga bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Dulu Perikatan Nasional (termasuk PAS) kata nak bekerjasama dengan GPS. Tapi yang pergi lawan GPS di Sarawak baru-baru ini PAS.
“Yang lawan BN di Melaka pun PAS juga. Macam mana nak bekerjasama dengan orang tetapi tuntut kerusi tak masuk akal lepas itu ugut-ugut dan lawan?,” soalnya menerusi Facebook.
Justeru, Isham berkata, tindakan PAS itu membuktikan parti itu yang sebenarnya mengamalkan politik sempit dan sumbang.
“Yang itu lagilah politik sempit. Bukan sahaja sempit tetapi sumbang.
“Yang kita tidak mahu adalah pengkhianat. Namun Tan Sri (Abdul Hadi) pula mahu bekerjasama dengan pengkhianat. Terpulanglah. Kita tidak halang,” katanya.
Semalam, Abdul Hadi menyatakan bahawa partinya tidak akan sekali-kali diperbodohkan dengan politik sempit dibawa oleh Umno yang menurutnya masih lagi membawa pendekatan ‘asabiyyah’ Melayu.
Abdul Hadi berkata, Umno ketika ini bukan sahaja meminggirkan rakan politiknya daripada Bersatu tetapi turut dilihat meminggirkan masyarakat majmuk melalui pendekatan yang telah gagal melalui Barisan Nasional (BN).
“Semua mengetahui mengapa Umno mahukan PAS sahaja dan PAS sekali-kali tidak boleh diperbodohkan dalam politik yang sempit,” katanya. – Malaysiapost

