Aishah bercerai, bekas suami lafaz talak menerusi WhatsApp

0
1

KEMELUT rumah tangga Penyanyi, Datuk Aishah yang dilaporkan sebelum ini berakhir selepas beliau mengesahkan sudah bercerai dengan bekas suaminya penghujung tahun lalu.

Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 57, memaklumkan dirinya diceraikan dengan talak satu melalui aplikasi WhatsApp pada 25 Disember lalu.

Akui sedih dengan pengakhiran berkenaan, Aishah berkata dirinya menangis ketika menerima lafaz talak dengan cara itu.

“Bagi saya kalau rasa sedih, menangis sahaja. Tidak perlu tahan kerana saya juga manusia biasa yang tidak boleh mengawal perasaan.

“Apa yang penting perlu kembali kuat dan ‘move on’. Kita perlu jalani hidup seperti biasa,” katanya seperti dilapor mStar.

November tahun lalu media melaporkan Aishah sudah tiga bulan tidak tinggal sebumbung dengan suami.

Sementara itu, Aishah berkata, beliau tidak pernah menyangka rumah tangga yang dibina putus di tengah jalan.

“Jika saya tidak bersabar dan tenangkan hati, pasti dah ‘meroyan’ akibat perpisahan ini.

“Dahulu ketika menetap di New Zealand saya sering melihat pasangan berusia berpegangan tangan dan terfikir akan jadi sebegitu.

“Ini adalah ketentuan Tuhan dan mungkin Allah sudah rancang sesuatu yang lebih baik untuk saya di masa akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, Aishah enggan mengulas lanjut berkaitan proses perceraian dan mahu menyelesaikannya sendiri bersama bekas suami.

Katanya, tiada siapa inginkan perceraian, namun mungkin rumah tangga mereka tidak boleh dipertahankan lagi.

“Saya sudah biasa hidup berdikari, jadi hidup ini perlu diteruskan.

“Aktiviti seni juga akan berjalan seperti biasa. Saya harapkan sokongan peminat terhadap artis lama seperti saya,” katanya.

Perkahwinan tersebut merupakan yang keempat buat Aishah.

Aishah mempunyai dua cahaya mata iaitu Armand Azhari, 29, hasil dari perkahwinan pertama dan Azhad Ahlami, 23, dari perkahwinan kedua. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here