AHLi Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menafikan beliau terlalu taksub atau obses dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Veteran DAP itu berkata, beliau hanya menzahirkan kebimbangan jika Ahli Parlimen Pekan itu dilantik sebagai calon Perdana Menteri Umno selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Apabila saya bertanya semalam siapa yang akan dipilih sebagai calon Perdana Menteri Umno selepas PRU-15, saya dituduh terlalu taksub dengan Najib Razak.
“Saya tidak obses dengan beliau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kemunculan semula politik seorang penjenayah yang disabitkan kesalahan rasuah sebagai Perdana Menteri ke-10 atau ke-11 akan memberi implikasi serius kepada masa depan Malaysia.
Beliau berkata, Malaysia akan meraikan ulang tahun ke-100 penubuhan negara pada tahun 2063 dan banyak persoalan hari ini akan hilang dalam sejarah.
“Tetapi satu persoalan yang harus menjadi kebimbangan semua rakyat adalah sama ada Malaysia boleh bangkit sebagai masyarakat majmuk yang bersatu untuk memulihkan kemerosotan negara dalam setengah abad yang lepas.
“Sama ada Malaysia akan menjadi kleptokrasi, kakistokrasi dan negara gagal apabila kita merayakan 100 tahun negara akan diputuskan oleh rakyat Malaysia sekarang, khususnya dalam PRU-15 dan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” katanya.
Kit Siang berkata, tiada persoalan mengenai komitmen tiga Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein Onn dalam perjuangan memerangi rasuah.
“Tetapi hari ini Malaysia sedang bergelut untuk melepaskan diri daripada kleptokrasi dan tiada bantuan datang daripada parti Tunku, Razak dan Hussein.
“Jika penjenayah rasuah yang disabitkan bersalah boleh berjaya untuk kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10 atau ke-11, maka visi Tunku Abdul Rahman untuk Malaysia menjadi “syurga keamanan, keharmonian dan kebahagiaan” dan “suar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu” telah menjadi mimpi yang mustahil.
“PRU-15 perlu menandakan kesinambungan aspirasi PRU-14 rakyat Malaysia untuk reformasi institusi bagi memulihkan impian bapa pengasas negara untuk Malaysia menjadi negara hebat bertaraf dunia,” katanya.
Menurutnya, sebagai rakyat Johor, beliau mahu melihat PRN Johor yang akan datang sebagai permulaan proses untuk menghentikan kemerosotan negara.
“Jika penjenayah rasuah yang disabitkan kesalahan boleh membuat kemunculan semula politik untuk menjadi Perdana Menteri ke-10 atau ke-11 negara, maka perkara ini bermakna usaha kedua untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi kleptokrasi, kakistokrasi dan negara gagal telah pun gagal.
“Marilah kita mulakan kempen Selamatkan Malaysia ini dengan PRN Johor,” katanya. – Malaysiapost

