PRN Johor bukan kerana kepentingan politik semata-mata – Tok Mat

0
2

FAKTOR keadaan politik sesebuah negeri menjadi punca Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu diadakan, kata Pengarah PRN Johor Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, faktor berkenaan menjadi asas mengapa PRN Johor perlu diadakan dan bukan atas faktor kepentingan politik semata-mata.

Menurutnya, tanggapan yang mengatakan momentum BN dalam beberapa pilihan raya negeri sebelum ini menjadi punca PRN Johor, adalah salah sama sekali.

“Keadaan politik di Johor nampak tenang di bahagian atasnya, dalamnya menggelegak. Pernah satu hari Sidang DUN Johor, tidak ada keputusan kalau Speaker tidak guna ‘casting vote’, tak dapat luluskan satu bil.

“Majoriti kerajaan Johor lebih satu kerusi sahaja, jadi hari itu ada seorang Adun kerajaan kena kuarantin jadi tak dapatlah luluskan bil tanpa casting vote Speaker.

“Apa yang kita nampak, bagaimana nak urus negeri dalam keadaan tidak menentu begini? Kerajaan tidak ada masa untuk fokus keutamaan membangunkan negeri, malah sering tergugat dengan keadaan yang tidak menentu,” katanya dalam program Agenda Awani, malam tadi.

Mohamad berkata, apa yang berlaku dalam PRN lain seperti Melaka, tidak boleh disamakan dengan apa yang akan berlaku di Johor kerana situasi di setiap negeri adalah berbeza.

Dalam pada itu, Mohamad berkata Pilihan Raya Umum (PRU) merupakan pilihan yang difikirkan bagi mengatasi ketidakstabilan politik, namun keadaan lebih mendesak di Johor yang memerlukan pilihan raya dilakukan secepat mungkin.

Beliau juga mengakui keperluan diadakan PRU pada kadar segera bagi memulihkan kepercayaan orang ramai, bukan sahaja rakyat tetapi juga pelabur luar yang beranggapan demokrasi seakan terhakis di negara ini.

“PRU itu terserah kepada Perdana Menteri, di peringkat pusat tidak begitu mendesak kerana sudah ada MoU sehingga Julai, jadi biarlah dahulu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here