SRIKANDI Bersatu sudah menyerahkan 15 nama untuk dipertimbangkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata calon yang disenaraikan itu diharap dapat diberi peluang oleh pucuk pimpinan untuk dipilih mewakili parti.
“Senarai semua calon wanita sudah diberikan dan terserah kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.
“Namun saya percaya wanita akan diberi ruang dan peluang sewajarnya,” katanya selepas menyantuni orang kurang upaya (OKU) Persatuan Kebajikan Chen Ai di Kuala Lumpur, lapor Berita Harian, hari ini.
Rina berkata, Srikandi berharap lebih ramai calon wanita daripada Bersatu diberi peluang bertanding pada PRN Johor walaupun secara dasarnya kuota wanita sama ada dalam parti politik, agensi dan sebagainya adalah sebanyak 30 peratus.
PRN Johor bakal diadakan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Januari lalu. – Malaysiapost

