Ebit bantu 15 keluarga terjejas banjir di Mentakab

0
2

HANYA mampu berserah dan menerima takdir yang menimpa susulan bencana banjir yang melanda baru-baru ini termasuk tinggal dalam khemah susulan rumah dihanyutkan banjir.

Itu luahan mangsa banjir di Mentakab, Pahang yang dikongsikan pendakwah bebas, Ebit Lew ketika menyantuni mereka hari ini.

Beliau berasa sedih apabila melihat sendiri nasib dialami penduduk berkenaan terutama yang kehilangan tempat kediaman susulan bencana itu.

“Sedihnya rasa bila tengok empat rumah hanyut dibawa air di Mentakab. Mereka bina khemah sementara untuk tempat tinggal. 

“Kami bantu bina empat rumah dan akan bina satu tangki untuk bekalan air bersih bagi penduduk kampung. Berat ujian mereka. Tadi tak berhenti mereka ucap terima kasih. 

“Ada yang menangis. Ada yang dah tak boleh menangis. Tak terbayang ada terpaksa duduk dalam khemah dari hari tu. Katanya apa lagi kami mampu ustaz. Terima sahajalah takdir ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut Ebit, banjir yang melanda kampung berkenaan baru-baru ini menenggelamkan rumah penduduk membabitkan 15 keluarga.

“Sekumpulan anak muda yang baik dari Kuala Lumpur bantu mereka dari mula banjir disamping masyarakat setempat dan badan yang lain. 

“Anak muda ini bina jambatan rosak yang merbahaya untuk dilalui. Mereka mengubungi kami. Sedih tengok jambatan sedang dibetulkan. 

“Lagi sedih tiada air paip. Mereka ada telaga kecil di rumah tapi airnya masam. Dah 15 tahun guna,” katanya.

Menurutnya, selepas berbincang usaha bersama akan dilakukan untuk membina perigi bagi disalurkan kepada 15 keluarga berkenaan yang semuanya penduduk tempatan. 

“Masa banjir satu pasangan ni mendapat cahaya mata. Sempat dibawa ke hospital. 

“Hampir semua rumah tenggelam banjir. Empat rumah terus hanyut. Tak tinggal apa-apa. Tadi berbincang, terus kita bantu untuk belikan segala keperluan untuk bina rumah.

“Doakan ye. Semoga dimudahkan, dibantu dan diterima Allah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here