PM diseru bersikap neutral pada PRN Johor

0
2

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu bersikap neutral dan tidak turun berkempen memihak mana-mana parti politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. 

Perkara itu disarankan oleh Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan yang berpendapat Perdana Menteri setakat ini berjaya memimpin kerajaan campuran mengelakkan berlakunya krisis politik. 

Shahir berkata, akan berlaku pertembungan tiga penjuru blok besar parti politik dalam PRN Johor yang mana dua daripadanya terbabit pembentukan Kerajaan Persekutuan yang diterajui Ismail Sabri. 

“Walaupun Kerajaan Persekutuan hari ini dilihat sebagai sebuah kerajaan campuran antara Barisan Nasional (PN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri, hingga hari ini berjaya mengemudi kerajaan tanpa berlakunya episod krisis politik sekali lagi.

“Hampir pasti akan berlaku pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru antara BN, PN dan Pakatan Harapan (PH). 

“Oleh itu, demi memanjangkan hayat kerajaan hari ini, Perdana Menteri perlu bersikap neutral agar bantuan, sumbangan dan dasar kebajikan kepada rakyat tidak terhenti di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya berharap Kerajaan Persekutuan berkonsepkan Keluarga Malaysia perlu dikekalkan kerana negara sedang bergelut untuk keluar daripada pandemik Covid-19. 

“Kerajaan hari ini perlu stabil hingga akhir tempoh supaya mandat dikembalikan kepada rakyat apabila keadaan sudah stabil, dari segi wabak Covid-19, ekonomi dan kebajikan nasional.

“Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menyokong Kerajaan Persekutuan hari ini yang berteraskan semangat Keluarga Malaysia, yang berkonsepkan kerajaan yang mendahului rakyat ketika rakyat ditimba musibah dan bencana. 

“Kerajaan hari ini, di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri, terbukti proaktif dalam menangani wabak Covid-19 dan bencana banjir baru-baru ini,” katanya. 

Justeru, pihaknya menyeru Perdana Menteri untuk terus fokus melaksana tanggungjawab dan cakna terhadap rakyat tanpa terlibat secara langsung dalam PRN Johor. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here