Mohamaddin mohon maaf sekali lagi, terima teguran dengan hati terbuka

0
3

SELEPAS dikecam pelbagai pihak termasuk 35 laporan polis di seluruh negara, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata beliau menerima teguran dengan hati terbuka dan berlapang dada.

Sambil berterima kasih kepada semua pihak yang menegurnya, calon Parti Warisan Sabah (Warisan) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama di Lahad Datu itu turut sekali lagi memohon maaf.

Ia susulan kenyataannya yang mendakwa tragedi pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo, Lahad Datu, tujuh tahun lalu sebagai sandiwara, selain peperangan ketika itu hanyalah dengan ayam dan anjing.

“Sekali lagi saya ingin memohon maaf jika ada pihak yang terguris dengan ucapan saya tempoh hari, walaupun saya langsung tidak berniat untuk mempolitikkan atau memperlekeh sumbangan pasukan keselamatan kita,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Mohamaddin yang juga bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya turut mengajak pengikutnya di Facebook untuk sedekahkan bacaan Al-Fatihah kepada wira negara yang terkorban.

“Di samping itu, bersama kita sedekahkan bacaan Al-Fatihah buat semua anggota perajurit negara yang telah terkorban semasa menjalankan tugas khasnya ketika peristiwa berdarah Tanduo tujuh tahun lalu. AL FATIHAH (dibaca),” katanya.

Beliau turut memuat naik gambarnya dalam keadaan meletakkan tangan di dada, dipercayai sebagai tanda memohon maaf.

Pagi tadi, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata polis menerima 35 laporan terhadap Mohamaddin Ketapi, susulan kenyataannya itu.

Justeru, katanya, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman ditugaskan memulakan siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Selepas tular video ucapannya dan menerima kecaman pelbagai pihak, Mohamaddin petang semalam membuat kenyataan maaf secara terbuka, sambil menyatakan tidak berniat menghina anggota keselamatan.

Sebaliknya merujuk kepada Barisan Nasional (BN) yang sepatutnya menyelesaikan isu tuntutan Filipina ke atas Sabah secara mutlak. – Malaysiapost