MAYAT seorang lelaki dipercayai dibunuh, ditemukan dengan tangan dan kaki terikat serta dibalut dengan kain di sebuah kediaman di Jalan Cenaga Baru, Kampung Repah, Tampin, Negeri Sembilan petang tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata mayat berkenaan ditemui isteri mangsa pada jam 2.30 petang, di rumah sewa suaminya itu bagi melihat keadaan lelaki tersebut selepas tidak menjawab mesej sejak semalam.
“Wanita berkenaan kemudiannya melihat melalui tingkap kerana rumah berkunci sebelum ternampak mangsa dalam keadaan perut kembung, kaki dan tangan terikat serta berbungkus sebelum meminta jiran menghubungi bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anuwal berkata berdasarkan maklumat daripada isteri mangsa, kali terakhir mereka berhubung pada jam 3 petang Selasa lalu.
“Isterinya kemudiaanya ada menghantar mesej menerusi WhatsApp pada Rabu dan hari ini, namun tidak dijawab.
“Berdasarkan pemeriksaan awal dianggarkan mangsa meninggal dunia lebih 24 jam lalu dan mayatnya sudah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tunku Jaafar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – Malaysiapost

