MAYAT seorang wanita ditemui dengan keadaan tangannya diikat menggunakan seluar, dalam perangkap sampah di kawasan kunci air di Sungai Kandis, Shah Alam pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mayat mangsa ditemui oleh polis sekitar jam 10.40 pagi dan dipercayai meninggal dunia sekitar tujuh hari lalu.
Menurutnya, tiada kecederaan fizikal dikesan pada tubuh mangsa.
“Identiti mangsa masih belum dikenalpasti dan mangsa memakai sebentuk cincin batu berwarna merah di jari manis kiri, memakai singlet berwarna hitam.
“Ketinggian mangsa lebih kurang 150 cm, rambut beruban dan bergigi jarang, mangsa tidak berseluar. Seluar mangsa disyaki digunakan untuk mengikat mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut untuk menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Shazrin di talian 0355202022 untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Malaysiapost

