Covid-19: Sabah catat 60 kes baharu

0
3

SEBANYAK 82 kes baharu positif Covid-19 dicatatkan hari ini, 60 daripadanya di Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, daripada 82 kes tersebut, 10 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan sembilan warganegara dan satu bukan warganegara.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia kini 10,358 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 665 kes,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 60 kes direkodkan di Sabah dengan 41 kes daripada Kluster Benteng LD, melibatkan 34 warganegara dan tujuh bukan warganegara.

Katanya lagi, enam kes dicatatkan  daripada Kluster Pulau yang melibatkan lima warganegara dan satu bukan warganegara.

“Kluster Selamat pula mencatatkan enam kes, iaitu melibatkan tiga warganegara dan tiga bukan warganegara.

“Selain itu, lima kes daripada Kluster Bangau-Bangau, iaitu kluster baharu di Semporna, yang melibatkan empat warganegara dan satu bukan warganegara.

“Masing-masing satu kes saringan komuniti dan kes saringan rujukan ke Hospital Queen Elizabeth yang melibatkan warganegara,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 10 kes di Kedah iaitu sembilan daripada Kluster Sungai dan satu kes daripada saringan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kota Setar, masing-masing melibatkan warganegara.

“Di Selangor dan Sarawak, masing-masing terdapat satu kes saringan pra prosedur dan kes saringan bergejela melibatkan warganegara,” katanya.

Katanya lagi, sehingga kini, terdapat sembilan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), iaitu dua memerlukan bantuan pernafasan dan tiada pertambahan kes kematian. – Malaysiapost