Foto: Facebook Hazulizah Md Dani
MENTERI Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menggambarkan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong, Hazulizah Mohd Dani sebagai calon yang bakal menjadi ‘Yang Berhormat’.
Ini kerana, Hishammuddin berkata, Hazulizah, 35, yang juga calon muda dan calon tunggal daripada Pergerakan Puteri Umno itu mampu berinteraksi dengan penduduk.
“Saya sangat gembira peluang diberi kepada calon muda, apa lagi bila tengok cara dia berinteraksi dengan penduduk.
“Mungkin (sebab) bekas pegawai JASA (Jabatan Hal Ehwal Khas) dan penerimaan orang sini terhadap calon, ini menggembirakan saya.
“Ini beri keyakinan bahawa Insya-Allah pada tarikh 26 September, calon akan jadi Yang Berhormat kita,” katanya ditemui selepas kempen di Kampung Sundang Laut di Sandakan hari ini.
Bekas Naib Presiden Umno itu berkata, beliau akan membantu dan membimbing calon muda seperti Hazulizah menjadi wakil rakyat berkaliber jika memenangi kerusi DUN Sekong.
Hazulizah berdepan saingan enam penjuru menentang Mohd Fazil Ajak (LDP), Abidin Sukor (PPRS), Sitti Nurul Ain Sahidah Pitting (PCS), Saran Jumdail (USNO) dan Alias Sani (WARISAN).
Sementara itu, Hazulizah berkata, Barisan Nasional (BN) cukup komited apabila memikirkan infrastruktur dan kemudahan asas termasuk permintaan penduduk di kawasan berkenaan.
“Insya-Allah jika diberikan mandat, kita akan cuba sedaya upaya untuk membantu apa keperluan rakyat di kawasan ini,” katanya. – Malaysiapost

