PRN Johor: 11,000 pegawai dan anggota polis bertugas pada PRN johor

0
2

SERAMAI kira-kira 11,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka ditugaskan sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata jumlah sebenar kekuatan anggota yang bertugas bagi pilihan raya itu belum diputuskan lagi kerana masih menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kita sedang merancang berapa pegawai dan anggota polis yang ditugaskan bagi PRN Johor untuk diatur gerak serta pasukan pemantau bagi memantau prosedur operasi standard (SOP) semasa pilihan raya.

“SOP kali ini mungkin tidak sama dengan PRN Melaka kerana ketika itu Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3 dan kini PPN Fasa 4,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Menurutnya, bagaimanapun pihaknya memang sudah siap sedia dari segi jumlah pegawai dan anggota yang jumlahnya dianggarkan kira-kira 10,000 hingga 11,000 orang, termasuk bantuan yang dipohon dari Bukit Aman.

“Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah memaklumkan sedia beri bantuan.

“Terutamanya Pasukan Op Cantas supaya memastikan PRN ini berjalan dengan lancar dan orang ramai dapat keluar mengundi tanpa gangguan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan buat masa ini cuti pegawai dan anggota kontinjen Johor masih belum dibekukan.

Sementara itu, menurutnya, satu pasukan khas juga diwujudkan bagi memantau media sosial berhubung PRN Johor bagi memastikan semua pihak mendapat maklumat yang benar dan tepat.

“Pasukan ini terdiri daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan lain-lain cawangan lagi termasuk pegawai-pegawai yang mahir dari segi teknologi maklumat (IT),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here