DAGING penguin halal dimakan kerana ia adalah sebagaimana hukum bagi burung-burung air yang lain, kata bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Beliau yang juga bekas Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, pada asasnya, ulama mazhab Syafie berpendapat, semua jenis burung air adalah halal untuk dimakan kecuali burung bangau.
“Ia kerana terdapat perbezaan pendapat mengenainya sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam al-Rafi’i, tambahan lagi Imam al-Ghazali ada menyebutkan bahawa semua burung air itu hukumnya adalah harus untuk dimakan.
“Begitu juga seluruh haiwan air yang lain kecuali haiwan yang ada bandingannya dengan haiwan di darat yang haram.
“Ini kerana dalam hal tersebut terdapat dua pendapat mengenainya iaitu sama ada halal atau haram,” katanya menerusi laman web Maktabah al-Bakri.
Sehubungan itu, Zulkifli berkata, hukumnya ke atas daging penguin adalah halal dimakan kerana ia adalah sebagaimana hukum burung-burung air yang lain.
Beliau berkata, penguin juga tidak termasuk dalam kategori burung yang mempunyai kuku kuat dan boleh melukakan sebagaimana yang dilarang dalam Islam.
“Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.”
“Maka, kesimpulannya, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa daging penguin halal untuk dimakan kerana penguin termasuk dalam kategori burung air.
“Selain itu, ia juga tidak termasuk dalam kategori burung yang mempunyai kuku yang kuat dan boleh melukakan,” katanya.
Mengenai daging burung bangau pula, jelas beliau, terdapat dua pendapat ulama dalam mazhab Syafie mengenai hukum memakan bangau.
“Al-Syeikh Abu Muhammad berpendapat bahawa ia halal dimakan sebagaimana burung kurki yakni burung jenjang dan pendapat ini telah dipilih oleh Imam al-Ghazali.
“Namun pendapat yang muktamad di sisi ulama mazhab Syafie ialah burung bangau haram dimakan kerana kejijikannya,” katanya.
Menurutnya, hal itu adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Rafi‘i bahawa semua jenis burung air itu adalah halal dimakan kecuali burung bangau.
“Dan al-Saimari menyatakan maksudnya: “Daging burung air putih (merujuk kepada bangau) tidak dimakan disebabkan oleh kejijikan dagingnya.
“Jadi, kesimpulannya, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa daging bangau adalah haram dimakan kerana kejijikan dagingnya,” katanya. – Malaysiapost

