KERAJAAN Pahang komited membantu mangsa-mangsa yang terkesan akibat bencana banjir di seluruh negeri Pahang baru-baru ini termasuk bersetuju memberikan pengecualian bayaran bil air selama tiga bulan bermula bulan ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri amat memahami keadaan mangsa banjir terutamanya dalam fasa pemulihan akibat bencana ini.
Beliau berkata, pengecualian itu bermula dari Januari 2022 hingga Mac 2022 membabitkan lebih 40,000 rumah kediaman dengan anggaran peruntukan berjumlah RM1.5 juta.
“Sebelum ini, kerajaan negeri telah mengumumkan bantuan kepada mangsa banjir termasuklah Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan pengecualian bayaran sewa selama tiga bulan kepada penyewa Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR).
“Tidak terhenti di situ, mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) telah bersetuju untuk mengecualikan pembayaran bil air selama tiga bulan di kawasan terjejas banjir baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berharap, dengan pengecualian itu ia dapat membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir terutamanya bagi membersihkan premis masing-masing yang terjejas akibat bencana alam itu. – Malaysiapost

