PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan terus bergerak maju sebagai ‘Economic Frontliners’ atau Petugas Barisan Hadapan Ekonomi.
Beliau berkata, JKDM berupaya memacu pertumbuhan berkualiti dan positif bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), ke arah menyubur kemakmuran Keluarga Malaysia.
Katanya, ini kerana dengan prestasi yang ditunjukkan oleh JKDM, dalam kutipan hasil bagi tahun lalu, amat memberangsangkan.
“Hasil kutipan bagi tahun 2021, melepasi sasaran awal RM40 bilion yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan, iaitu mencecah RM42.50 bilion.
“Selain itu, tahun 2021 juga menyerlahkan keunggulan sektor penguatkuasaan JKDM apabila berjaya menumpaskan kartel pengedaran dadah antarabangsa dengan rampasan dadah seberat 16 tan bernilai RM5.2 bilion.
“Justeru, sekalung ucapan tahniah dan terima kasih saya zahirkan kepada seluruh pegawai dan anggota JKDM atas kejayaan cemerlang yang diraih, walaupun kita masih berdepan ketidaktentuan global khasnya ancaman pandemik Covid-19 dan bencana alam,” katanya ketika Majlis Perasmian Hari Kastam Sedunia kali-40 tahun 2022. – Malaysiapost

