SEORANG penunggang motosikal ditahan Unit Kuatkuasa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur kerana dipercayai terbabit kes buli samseng jalanan.
Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata kejadian dilaporkan berlaku pada 22 Januari lalu kira-kira jam 5 petang di Jalan Ampang Kiri, Ampang.
Menurutnya, susulan daripada kejadian itu mangsa membuat dua laporan polis, namun mendakwa tiada tindakan diambil oleh pihak polis.
“Pada jam 8.15 pagi semalam terkesan video berdurasi enam minit 13 saat dimuat naik pemilik akaun Facebook Edrio Edmond yang mendakwa menjadi mangsa buli samseng jalanan dan mendakwa tiada tindakan diambil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat yang diterima, pada jam 6.30 petang semalam Unit Kuatkuasa JSPT Kuala Lumpur telah berjaya mengesan suspek di sekitar Jalan Ampang Ulu.
“Suspek berusia 36 tahun telah diterangkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan seperti dalam video yang viral berkenaan.
“Tindakan saman telah diambil atas kesalahan tiada nombor pendaftaran kenderaan, tamat cukai jalan, tiada insurans dan tidak memakai topi keledar,” katanya.
Sarifudin berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee dibtalian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-2026 0267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Malaysiapost

