BARISAN Nasional (BN) membayangkan akan bertanding sendirian menggunakan logo dacing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus kemungkinan besar tiada kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN).
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ketika ini majoriti kepimpinan BN di semua peringkat bahagian akar umbi mahu gabungan itu ‘berseorangan’ dalam menghadapi PRN Johor.
“Bagaimanapun pemimpin tertinggi (BN) akan meneliti sebaik-baiknya supaya apa yang bakal diputuskan nanti semata-mata mendatangkan kebaikan kepada BN,” katanya kepada media di Johor Bahru hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada BN sudah membuat keputusan berhubung kerjasama dengan PAS dalam PRN.
Sebelum ini PAS dilaporkan mahu bertanding di semua kerusi BN tewas di Johor pada PRU14 lalu, bukan hanya empat kerusi seperti mana ditawarkan Pengerusi Umno Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata tindakan Umno menawarkan empat daripada 59 Kerusi DUN kepada PAS dalam PRN Johor, sebagai bukan ‘cara baik’.
Kelmarin, Mohamad dilaporkan berkata mahu bertanding sekurang-kurang 42 daripada 56 kerusi DUN Johor.
Sementara itu mengulas sama ada BN akan menggunakan formula sama di Melaka iaitu mempertaruhkan lebih 80 peratus muka baharu, Mohamad berkata soal calon belum lagi dibincangkan. – Malaysiapost

