Hanya pembalakan terpilih baik untuk harimau – WWF

0
2

PEMBALAKAN baik untuk harimau hanyalah melibatkan pembalakan terpilih iaitu menebang sebilangan pokok tertentu setiap tahun dalam petak hutan, kata Tabung Hidupan Liar (WWF).

Menerusi kenyataan ia berkata pembalakan terpilih tidak merangkumi pembalakan yang dilakukan secara sembarangan dengan menebang seluruh hutan sekali gus.

Katanya, ia berdasarkan kajian WWF pada 2009 bertajuk, ‘Kepentingan hutan balak terpilih untuk pemuliharaan harimau Panthera Tigris: Anggaran kepadatan penduduk di Semenanjung Malaysia’ oleh D Mark Rayan dan Shariff Wan Mohamad.

Kajian itu bertujuan mengetahui lebih lanjut mengenai kepadatan harimau khususnya di hutan balak terpilih.

Menurut WWF, kajian kira-kira 13 tahun lalu itu mendapati anggaran kepadatan 2.59 harimau dewasa adalah bagi setiap 100 kilometer (km) persegi.

Ini katanya, menunjukkan bahawa hutan ditebang secara terpilih, seperti Hutan Simpan Gunung Basor, berpotensi untuk menampung kepadatan harimau yang tinggi.

“Kajian itu menyimpulkan bahawa penyelidikan lanjut amat diperlukan untuk memahami ekologi harimau dan mangsanya di hutan yang dibalak secara terpilih.

“Ini bagi memastikan garis panduan pengurusan mesra harimau boleh disyorkan untuk Pengurusan Hutan Lestari (SFM) sekali gus menyumbang secara signifikan kepada pemuliharaan harimau.

“Kami percaya hutan yang bersih dan tidak terganggu adalah habitat sesuai untuk harimau. Kawasan perlindungan dalam bentuk perlindungan hidupan liar dan taman negara adalah perlu,” katanya menerusi kenyataan.

Kelmarin, Pengarah Perhutanan Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah berkata aktiviti pembalakan yang teratur baik untuk pertambahan populasi harimau berdasarkan kajian seorang pakar dari Sarawak.

Katanya, apabila ada aktiviti pembalakan, banyak tumbuhan baharu tumbuh dan seterusnya menarik minat haiwan seperti kancil dan sebagainya untuk datang ke kawasan tersebut.

Susulan itu Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mempertahankan kenyataan tersebut dengan menjelaskan, pembalakan teratur serta mengikut peraturan ditetapkan Majlis Tanah Negara membantu pengurusan dan kestabilan hutan.

“Yang dia (Pengarah Perhutanan negeri) sebut itu betul… ada kajian orang buat… WWF.

“Berdasarkan pandangan itu makna pembalakan ini, maksudnya pembalakan terpilih boleh bantu pengurusan hutan. Tak bangkitlah isu orang salahkan pembalakan seolah-olah pembalakan menyebabkan harimau keluar, banjir dan lain-lain,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here