KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan meminda beberapa dasar lapuk yang digunapakai oleh agensi di bawahnya.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pindaan itu perlu bagi mempercepatkan proses kerja dan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.
“Macam yang saya katakan dalam ucapan saya, yang utama adalah untuk kesejahteraan rakyat dari segi pembangunan ekonomi keluarga, dari segi pembangunan keusahawanan dan dari segi perniagaan dalam komuniti.
“Kita semua memikirkan bahawa untuk seterusnya dasar dan pembangunan wilayah perlulah disesuaikan dengan zaman IR 4.0 iaitu zaman digital, ada beberapa perkara nak ditambahbaik dasar agensi yang ada di bawah KPLB,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) di Dewan Datuk Ariffin Said, Gua Musang, hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, agensi di bawah KPLB perlu meminda dasar lapuk yang menghalang pelaksanaan sesuatu gerak kerja sehingga menyukarkan penyelesaian masalah rakyat.
Tegasnya, dasar dan amalan lapuk itu sama ada perlu diganti atau dipinda untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.
Mengulas pencapaian KESEDAR sepanjang 40 tahun penubuhannya, Mahdzir berkata, secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan program pembangunan yang dilaksanakan.
“Lebih kurang 40 tahun KESEDAR membangunkan masyarakat di sini, ada kejayaan besar yang telah KESEDAR lakukan.
“Yang penting bagaimana kita hendak menentukan sejauhmana dua mandat KESEDAR iaitu Mandat Keusahawanan dan Mandat Kesejahteraan Rakyat dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya,” katanya. – Malaysiapost

