PRN Johor langkah terbaik kembalikan kestabilan politik – Bastien

0
2

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor adalah langkah terbaik untuk mengembalikan kestabilan politik agar rakyat negeri itu mendapat khidmat terbaik daripada kerajaan yang dipilih.

Exco Pemuda Umno, Bastien Onn berkata paling penting pembangkang seharusnya segera menghentikan tuduhan kononnya Umno gila kuasa dan tidak memahami kesusahan rakyat.

“Bagaimana Pakatan Harapan (PH) boleh menuduh Umno gila kuasa sedangkan parti ini sedang memerintah dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menyerahkan kuasa kepada rakyat untuk memilih siapa yang mereka kehendaki mentadbir negeri.

“Pemergian bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian secara tidak langsung telah mewujudkan ketidakstabilan dari segi kedudukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Jangan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong buat-buat tidak faham perkara ini. Kerajaan pimpinan Hasni hari ini bergantung kepada majoriti tipis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang Johor, Aminolhuda Hassan yang juga Pengerusi PH Johor; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Chin Tong menegaskan, ketika ini bukan masa sesuai untuk pilihan raya, tatkala isu virus Covid-19, varian Omicron, banjir dan ekonomi belum diselesaikan sepenuhnya.

Dalam pada itu Bastien mempersoalkan, bagaimana kerajaan hendak berfungsi jika dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kelak ada ADUN dari kerajaan yang tidak dapat hadir untuk mengundi Rang Undang-Undang (RUU) atas pelbagai sebab tidak dapat dielakkan.

“Kerajaan akan lumpuh sekiranya pembentangan bajet atau RUU yang melibatkan rakyat tidak dapat diluluskan kerana ketidakhadiran seorang sahaja di pihak kerajaan.

“Situasi itu akan menyukarkan kerajaan negeri menjalankan urusannya terutama berkaitan isu kesihatan, ekonomi dan pendidikan.

“Ini adalah langkah menstabilkan kerajaan bagi memberi khidmat kepada rakyat. Barisan Nasional (BN) menyerahkan kepada rakyat untuk menentukannya,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here