Hentikan tindakan zalim terhadap atlet negara – Guan Eng

0
3

ATLET negara tidak sepatutnya dizalimi dengan sewenang-wenangnya oleh persatuan sukan dengan menghukum mereka tanpa sebab yang munasabah.

Perkara ini disuarakan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang berkata, atlet negara tidak patut dizalimi dengan sedemikian rupa terutamanya apabila mereka sedang menghadapi kesusahan.

“Hentikanlah tindakan zalim terhadap bakat-bakat sukan, barulah negara boleh melahir dan mengekalkan bakal juara dunia. Jangan nanti kita hilang bakat-bakat ini kepada negara asing,” katanya di Facebook, hari ini.

Setiausaha Agung DAP itu berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa atlet negara kelahiran Pulau Pinang baru-baru ini.

“Saya telah meluangkan masa bersama pemain skuasy negara, Low Wee Wern dan pemenang pingat emas badminton Olimpik Remaja, Goh Jin Wei.

“Wee Wern merupakan pemain skuasy nombor satu negara tetapi terpaksa menjalani pembedahan lutut akibat kecederaan pada tahun lepas.

“Jin Wei yang memenangi pingat emas dalam World Junior dan Olimpik Belia merupakan bakat badminton negara yang sedang naik sehingga beliau terpaksa berhenti seketika disebabkan pembedahan akibat penyakit perut,” katanya.

Menurut Guan Eng, beliau telah mendengar keluhan daripada kedua-dua atlet negara itu tentang layanan yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan serta persatuan sukan setelah mereka berjuang sekian lama demi Malaysia.

“Pemain badminton lelaki utama negara Lee Zii Jia pun dalam keadaan serupa.

“Wee Wern telah dihentikan daripada program latihan kebangsaan oleh MSN dan Jin Wei pula digantung selama dua tahun oleh BAM tanpa sebarang sebab yang munasabah,” katanya.

Justeru, Guan Eng menyeru Kementerian Belia dan Sukan mengambil tindakan segera bagi memastikan keadilan dan kebajikan setiap atlet negara terus mendapat pembelaan.

“Ambil yang jernih, buang yang keruh dalam pentadbiran sukan. Perlu ada satu pembaharuan, jangan sampai sukan kita menjadi lumpuh.

“Menteri Belia dan Sukan harus tampil memberi keadilan kepada Wee Wern, Jin Wei, Lee Zii Jia, 253 orang atlet yang telah dihentikan daripada latihan serta atlet-atlet yang telah dipotong elaun latihan sehingga lebih 50%.

“Jika Menteri terus diam seribu bahasa apabila atlet kita menghadapi masalah maka Perdana Menteri harus campur tangan. Jangan sekadar turun menumpang glamour bergambar beramai-ramai bila atlet menang pingat,” katanya.

Minggu lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zee Jia dan Jin Wei pada mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun.

Zee Jia dikenakan hukuman berkenaan kerana tindakannya meninggalkan BAM sekali gus bergelar pemain profesional. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here