Pihak pembelaan sasar lebih 20 saksi beri keterangan April depan

0
2

PASUKAN pembelaan yang mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, bahawa pihaknya akan memanggil lebih 20 saksi untuk memberi keterangan pada April depan.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik, berkata pasukan pendakwaan menawarkan 37 saksi kepada pasukan pembelaan.

Namun, katanya, lebih kurang 20 daripada jumlah itu akan digunakan untuk prosiding bela diri kelak.

“Saksi pertama adalah melibatkan anak guam saya sendiri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, manakala saksi-saksi lain akan dimaklumkan kemudian.

“Maka pihak kami memerlukan sedikit masa untuk menyediakan pernyataan-pernyataan saksi yang terlibat sekali gus memohon agar prosiding bela diri ditetapkan tiga bulan dari tarikh hari ini,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata, ia penting bagi pihak pembelaan memutuskan saksi mana yang akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Terdahulu, Ahmad Zahid diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan perkara itu selepas berpendapat wujud prima facie berhubung kes itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here