GST: Guan Eng tidak faham ‘public finance’ – Shahrir Samad

0
1

KEBERKESANAN sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) membanteras ekonomi hitam menyebabkan ia tidak disukai oleh penyokong DAP, kata Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Beliau berkata, pemansuhan GST juga berlaku kerana bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak begitu faham sangat berkenaan ‘public finance’ atau kewangan awam.

“Kalaulah GST itu membebankan masyarakat berpendapatan rendah, Barisan Nasional (BN)-Umno pasti kalah lebih banyak kerusi semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Sebenarnya, penyokong-penyokong DAP yang tidak suka kepada GST kerana kekesanannya untuk membenteras ekonomi hitam. Lim Guan Eng pula tak faham sangat pasal ‘public finance’ atau kewangan awam,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, itu berkata tindakan Guan Eng itu kerana sering berprasangka terhadap pemimpin BN dan pengawai tinggi Kementerian Kewangan ketika itu.

“Bukan sahaja Guan Eng prasangka tak baik terhadap BN dan pegawai-pegawai tinggi MoF, dia juga ada prasangka silap tentang kepandaian dirinya,” sindirnya.

Terdahulu, media melaporkan, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz memberi bayangan pelaksanaan GST berkemungkinan bakal diperkenalkan semula bagi membendung masalah ketirisan cukai.

Jelas beliau, sekiranya dilihat perbandingan antara GST dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), secara teorinya hasil kutipan lebih kurang sama, cuma dari segi praktikal GST lebih efisien kerana penipuan cukai sukar dilakukan.

Tengku Zafrul turut mendedahkan hasil kerajaan merosot sebanyak RM20 bilion apabila SST kembali diperkenalkan, walaupun harga barangan kesan pengenalan semula SST adalah sama dengan GST.

“Isunya banyak ketirisan berlaku apabila SST kembali diperkenalkan sehingga menyebabkan kerajaan susah untuk mengesan mereka yang cuba lari daripada cukai,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here