
KERAJAAN Kedah di bawah pimpinan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen pembalakan sejak mengambil alih pimpinan negeri pada Mei lalu.
Justeru, satu hantaran Facebook oleh individu bernama Sabrina Syed yang tular sejak semalam memaparkan imej satelit hutan berhampiran Empangan Ahning, adalah usaha memberi persepsi buruk terhadap kerajaan negeri, kata Pejabat Menteri Besar.
“Mengikut rekod Jabatan Perhutanan, lesen membalak di kawasan berhampiran Empangan Ahning itu diberi pada 2019.
“Ia berkuatkuasa antara 25 Februari hingga 25 Ogos (merupakan lesen yang disambung semula oleh Jabatan Perhutanan disebabkan kerja pengusahasilan yang belum selesai),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, Jabatan Perhutanan mengeluarkan lesen membalak untuk dikeluarkan semua hasil sebelum tanah itu diluluskan hak milik kepada syarikat Tradewinds.
“Keputusan untuk memberi hak milik tanah kepada syarikat berkenaan dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Tanah dan Hasil Bumi pada 1 Ogos 2017,” katanya. – Malaysiapost
