EMPAT ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus syarikat membaiki jentera berat yang didakwa berhubung kes pembuangan bahan berbahaya ke Sungai Gong, Rawang, dibenarkan diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Pesuruhjaya Kehakiman Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan adik-beradik Yip Kok Wai, 53; Yip Kok Mun, 58; Yip Kok Kuin, 50 dan Yip Kok Wong, 60; serta pengurus bengkel, Ho Voon Leong, 59, terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam yang tidak membenar mereka diikat jamin.
Memetik laporan Bernama, hakim turut memerintahkan kelima-lima lelaki itu menyerahkan pasport masing-masing dan diberi amaran sekiranya mereka melakukan kesalahan ketika dalam tempoh jaminan, mahkamah akan menarik perintah jamin itu.
Dalam penghakimannya, Norsharidah berkata beliau mengambil kira faktor seperti keseriusan kesalahan dihadapi kesemua tertuduh selain faktor kesihatan mereka serta bahaya yang menanti sekiranya kesalahan diulangi.
“Ini adalah kes serius yang mendapat perhatian ramai, oleh itu mahkamah membenarkan semua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM400,000 setiap seorang dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan kesemua tertuduh perlu serahkan pasport kepada mahkamah.
“Jika kesalahan dilakukan ketika dalam tempoh jaminan, mahkamah akan tarik balik jaminan,” katanya. – Malaysiapost

