PIHAK pendakwaan hari ini, memfailkan rayuan terhadap pembebasan peguam dan aktivis, Siti Kasim atas pertuduhan menghalang tugas seorang pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam satu acara di sebuah hotel pada 2016.
Perkara itu dimaklumkan peguam A Saha Deva kepada pemberita selepas pengurusan kes saman Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim terhadap Jawi di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Seri Latifah Mohd Tahar.
“Pihak kami telah dimaklumkan bahawa notis rayuan itu difailkan pada 27 Ogos lepas. Jadi, mahkamah telah menetapkan 28 Okt ini untuk pengurusan kes selanjutnya bagi mengetahui status rayuan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Semakan melalui sistem kehakiman menunjukkan rayuan pendakwaan itu ditetapkan untuk sebutan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah, Farah Azura Mohd Saad pada 5 Oktober ini.
Bagi kes saman sivil pula, Saha Deva berkata, anak guamnya akan memfailkan permohonan bagi meminda penyataan tuntutannya.
Peguam Arik Zakri Abdul Kadir mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp), selaku defendan dalam kes saman itu.
Pada 1 April 2019, Siti selaku plaintif menyaman Jawi dan 18 pihak yang lain termasuk pegawainya di atas dakwaan menangkap dan menahannya secara salah semasa serbuan pada satu acara tertutup membabitkan komuniti transgender di sebuah hotel di sini pada 2016.
Selain Jawi dan Maiwp, turut dinamakan sebagai defendan ialah Ketua Pegawai Penguatkuasa Wilayah Persekutuan diikuti 14 pegawai penguatkuasa Jawi iaitu Akmal Nadzim Abdullah, Siti Nor Jihan Saleh @ Md Ghazali, Farah Wahida Zulkiflee, Ruzaimie Mamat, Mohd Hasmizi Mohd Hassan, Mohd Shahrizan Yaacob, Mohd Khairuddin Mohd Noor, Rosyaimi Affendi Ruslan, Ahmad Naziz Lahori, Mohammad Izehar Md Amin, Mohd Faizal Mustapha, Mohd Fikri Abu Mansor, Mohd Faizal Roslan, dan Mohamad Bukhori Ahmad.
Manakala, dua lagi defendan adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Kerajaan Malaysia.
Dalam penyataan tuntutan, Siti mendakwa beliau ditahan selama empat jam semasa serbuan pada 3 April 2016 serta mendakwa beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dan hanya hadir di majlis itu sebagai peguam kepada pihak penganjur.
Dakwa plaintif, beliau juga tidak dimaklumkan mengenai kesalahan yang dilakukannya dan ia adalah bertentangan dengan Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan.
Akibat daripada penahanan itu, Siti mendakwa beliau telah mengalami penderitaan, penghinaan dan emosinya turut terganggu.
Pada 21 Ogos lalu, Mahkamah Majistret di sini melepas dan membebaskan Siti daripada pertuduhan menghalang tugas seorang pegawai Jawi selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan unsur-unsur pertuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan di akhir kes pendakwaan terhadapnya.
Sehubungan itu, Majistret Tawfiq Affandy Chin berkata, pertuduhan yang dikemukakan terhadap tertuduh adalah cacat kerana tidak dinyatakan secara spesifik bentuk halangan itu. -Malaysiapost

