PRN Johor: MIC tidak berhasrat tanding kerusi tradisi

0
2

MIC tidak berhasrat bertanding di beberapa kerusi tradisi parti itu dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor kerana ia belum tentu menjanjikan kemenangan.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, berkata ini kerana situasi dan landskap politik sudah berubah serta tidak perlu meletakkan calon jika sudah mengetahui sukar untuk menang.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana percaturan dan kaedah lama yang dipraktikkan sebelum ini sudah tidak relevan dengan trend pengundian semasa.

“Kita sudah mengenal pasti lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi tetapi masih belum diputuskan lagi. Namun kita berharap akan diberikan lima kerusi dan ini akan dibawa kepada pucuk pimpinan.

“Seperti kebiasaan, kita akan minta lima kerusi DUN dalam pilihan raya Johor, tetapi untuk dapat atau tidak itu perlu ada alasan yang munasabah.

“Kalau tahu nak kalah minta (kerusi) pun tidak guna, jadi siapa yang dirasakan boleh menang kita beri peluang, kalau terdesak itu bermakna kita kena bagi laluan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Vigneswaran berkata, MIC akan membuat keputusan terbaik bagi memastikan calon mereka berada dalam politik arus perdana dan kerajaan negeri yang bakal ditubuhkan.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), MIC menang di kerusi DUN Tenggaroh dan Kahang masing-masing dengan majoriti 5,765 dan 2,861 undi.

Manakala di DUN Gambir dan DUN Skudai parti itu tewas masing-masing dengan majoriti 3,088 dan 35,126 undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here