KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha mendapatkan pendekatan terbaik untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga sekolah, khususnya di asrama.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata KPM akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan nasihat berkaitan isu berkenaan.
“Petang tadi (semalam) saya bersama pengurusan tertinggi dan pegawai KPM bermesyuarat bagi membincangkan beberapa perkara penting berkaitan pengurusan pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM yang memerlukan perhatian segera.
“Antara tumpuan perbincangan adalah mengenai pengurusan jangkitan Covid-19 di institusi pendidikan bawah KPM,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Radzi berkata, pihaknya turut membincangkan isu penyelarasan kebenaran pulang ke rumah bagi murid di institusi pendidikan bawah KPM sempena cuti Tahun Baharu Cina pada awal Februari ini.
“Pemakluman berhubung perkara ini disampaikan melalui institusi masing-masing.
“KPM mohon kerjasama semua pihak, khususnya ibu bapa, murid dan guru untuk sama-sama membantu serta menyokong usaha KPM untuk memastikan murid dapat terus mengikuti pembelajaran secara bersemuka dengan selamat.
“Doakan usaha kami di KPM dipermudah dan setiap perancangan dapat dijayakan dengan sebaiknya demi kelangsungan pendidikan generasi pewaris negara. KPM komited melakukan yang terbaik,” katanya.
Terdahulu, KKM melaporkan 12 daripada 13 kluster baharu yang direkodkan semalam melibatkan kategori pendidikan, manakala satu lagi kluster tempat kerja.
Berdasarkan data portal COVIDNOW, kluster pendidikan tersebut dikesan di Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Perak, Pahang, dan Pulau Pinang.
Lima daripada kluster berkaitan pendidikan itu dikesan di Kelantan melibatkan 44 kes positif Covid-19. – Malaysiapost

