Penggantungan 2 tahun terhadap Zii Jia adalah melampau – Najib

0
2

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyokong pendapat agar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyelesaikan kemelut dengan pemain badminton negara Lee Zii Jia secara baik.

Menurutnya, perkara sama juga perlu dilakukan bagi isu membabitkan bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei seperti yang disuarakan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Saya setuju dengan Lee Chong Wei dan Peja. Kemelut antara BAM dan Lee Zii Jia (dan Goh Jin Wei) perlu diselesaikan secara baik.

“Negara kita sudah jadi tumpuan dan sasaran bagi kecaman dunia sukan sebab kita dilihat bertindak secara tidak munasabah dan penuh dengki dengan langkah yang memakan diri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Najib berpendapat, melarang Zii Jia untuk mewakili negara selama dua tahun adalah satu hukuman yang melampau sebab karier seorang atlet adalah pendek.

“Saya faham antara sebab Zii Jia keluar BAM ialah dia sudah ada sponsor sendiri dan mahukan jurulatih sendiri.

“Saya juga faham bahawa BAM kecewa sebab mereka sudah melabur untuk latih dia sejak dia berusia 13 tahun,” katanya.

Beliau berkata, BAM bukanlah sebuah syarikat komersial yang inginkan pulangan bagi pelaburan mereka dan misinya adalah untuk pertingkatkan prestasi sukan badminton negara, bukan untuk mendapat pulangan komersial.

“Sebagai cara penyelesaian, mungkin BAM boleh berunding dengan Zii Jia serta Goh Jin Wei dan sponsor mereka untuk tuntut ganti rugi yang munasabah?

“Dulupun bekas pemain No. 1 dunia, Roslin Hashim pernah membayar pampasan hampir RM68,000 untuk keluar BAM pada tahun 1996. Tak sampai pula larangkan dia untuk bermain untuk negara masa itu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here