JPB pantau Bajet 2022 – PM

0
1

JAWATANKUASA Pemantauan Bajet 2022 (JPB 2022) telah ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaan yang teratur untuk kesemua strategi yang telah digariskan kerajaan sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata jawatankuasa itu bertujuan memantau pelaksanaan dan prestasi inisiatif, serta mencadangkan penyelesaian, intervensi dan perubahan polisi yang sesuai bagi memastikan pelaksanaan sempurna Bajet 2022.

“Proses pemantauan juga akan melibatkan kerjasama rapat dengan kementerian dan agensi pelaksana bagi memastikan penyaluran manfaat Bajet 2022 dan penyampaian perkhidmatan awam yang efisien dan efektif.

“Selain itu, JPB 2022 juga akan meneliti tahap keberhasilan inisiatif-inisiatif di bawah Bajet 2022 dan akan mempertimbangkan semula jumlah peruntukan bagi inisiatif-inisiatif yang berkaitan, jika perlu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, pakar industri dan pakar berkaitan akan dijemput menghadiri mesyuarat JPB 2022 untuk memberi maklum balas profesional, jika perlu.

Selain itu, katanya, kerajaan juga mengalu-alukan maklum balas dari rakyat, sektor perniagaan dan masyarakat sivil mengenai pelaksanaan Bajet 2022.

Beliau berkata, kerajaan menegaskan bahawa pelaksanaan agenda kelestarian juga telah diberi perhatian khusus di dalam penyediaan Bajet 2022.

“Bajet 2022 telah memperuntukkan RM450 juta bagi pemuliharaan, pemeliharaan alam sekitar dan biodiversiti, serta penerbitan Sukuk Kelestarian bernilai RM10 bilion bagi mencapai strategi pembangunan mampan negara,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga berharap agar semua segmen Keluarga Malaysia akan bekerjasama di dalam menjayakan pelaksanaan langkah-langkah Bajet 2022 bagi kesejahteraan kita bersama. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here