Selepas suami, kini giliran Zeti pula disiasat?

0
1

SIASATAN ke atas Datuk Dr Tawfiq Ayman yang juga suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), berhubung dakwaan menerima dana berkaitan 1Malaysian Development Berhad (1MDB) dipercayai telah dilengkapkan.

Ianya dikatakan termasuk dengan cadangan pertuduhan dan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Laporan Utusan Malaysia yang memetik sumber berkata, siasatan yang dimulakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih menumpukan berhubung penerimaan wang ke dalam akaun milik Tawfiq di Singapura yang diperolehi hasil dari terbitan RM5 bilion oleh AmBank pada tahun 2009.

Kata sumber itu, siasatan yang dijalankan PDRM adalah prosedur yang sama bagi individu-individu lain yang telah dituduh hasil penerimaan wang daripada aktiviti haram.

Bagaimanapun, difahamkan satu siasatan lain turut dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah laku membabitkan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

“Siasatan telah pun dilakukan SPRM selepas suruhanjaya itu menerima aduan daripada sebuah Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendesak agar siasatan dilakukan terhadap Zeti dan Nor Mohamed pada 22 Disember lalu.

“Aduan yang dibuat kepada SPRM adalah mengenai pendedahan pihak berkuasa Singapura yang telah memberitahu BNM pada tahun 2015 dan 2016 mengenai transaksi yang mencurigakan oleh sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan Tawfiq dan ketika itu, Zeti masih menjadi Gabenor Bank Negara.

“Dakwaan itu dikuatkan lagi, apabila SPRM mengesahkan kerajaan Singapura telah membantu dalam pemulangan aset dikaitkan dengan 1MDB sebanyak RM65 juta (AS$15.4) kepada Malaysia melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd. dikaitkan dengan Tawfiq dan bekas pegawai kanan firma NTUC, Samuel Goh Sze-W,” kata sumber itu.

Dalam pada itu, menurut sumber berkenaan, siasatan membabitkan dakwaan berkenaan masih di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pengubahan Wang Haram 2001. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here