PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa pemegang konsesi tol supaya memberikan pilihan kepada pengguna jalan raya dalam penggunaan transaksi tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
Menurutnya, Kabinet berpendapat bahawa pengguna jalan raya mesti diberikan pilihan seperti waktu Touch ‘n Go (TnG) diperkenalkan di mana pengguna dibenarkan membuat transaksi secara tunai di tol.
“Sekarang ini, kita nak perkenalkan RFID supaya mempercepatkan laluan.
“Tidak ada gate dan sebagainya, cuma cadangan itu bagus tetapi dari segi pengguna, mereka mesti diberikan pilihan sama ada nak gunakan RFID, TnG atau SmartTAG,” katanya seperti dilapor Wilayahku.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Jelajah Agrikomoditi di Putrajaya hari ini.
Menurut Ismail, kerajaan tidak mahu ada tekanan kepada pengguna jalan raya untuk menukar sistem transaksi sedia ada termasuk menukarkan semua lorong bayaran tol menggunakan sistem RFID.
“Sebagai contoh, dari segi lorong tol, jangan semuanya RFID. Kita beri pilihan, kalau ada 10 lorong mungkin beberapa lorong untuk RFID dan yang lain masih lagi untuk TnG dan SmartTAG,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya pengguna merasakan RFID memudahkan perjalanan mereka, mereka akan migrate kepada penggunaan RFID.
Dalam pada itu, Ismail berkata, Kabinet telah mengarahkan Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk memanggil semua pemegang konsesi tol untuk mengadakan perbincangan berhubung perkara tersebut.
“Kita buat keputusan, kalau ada yang melibatkan bayaran kepada rakyat dan sebagainya, (pemegang konsesi) perlu merujuk kepada Kabinet terlebih dahulu,” katanya. – Malaysiapost

