Terrence Naidu buat laporan polis dakwa negatif dadah

0
1

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Bedamar, Terrence Naidu dilaporkan membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang hari ini.

Ia susulan keputusan ujian Pathlab yang dilakukannya pada 15 Januari lalu didapati negatif dadah.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Biro Guaman Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik, Ramkarpal Singh menerusi kenyataannya hari ini.

Ramkarpal berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Terence bahawa dia telahpun melakukan ujian kedua tersebut sendiri di Klinik O2 oleh kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pertama daripada pihak polis yang mendapati terdapat kesan dadah di dalam air kencingnya.

“Saya telahpun dimaklumkan oleh YB Terence bahawa selepas beliau dibebaskan atas jaminan polis pada 14 Jan lalu, beliau pada keesokan hari iaitu 15 Januari pergi sendiri ke Klinik O2 di Pulau Pinang untuk membuat ujian saringan dadah dalam air kencingnya.

“Menurut YB Terence, sampel air kencing yang diambil di Klinik O2 tersebut telahpun dianalisa di makmal Pathlab dan keputusannya adalah bahawa langsungnya tiada sebarang jenis dadah dikesan dalam air kencingnya.

“Memandangkan perkembangan baru ini, adalah jelas bahawa siasatan lanjut perlu diambil oleh pihak polis dengan kadar segera demi kepentingan keadilan di mana YB Terence bersedia untuk memberi segala kerjasama bagi tujuan tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap siasatan lanjut tersebut dilakukan dengan secepat mungkin.

Terdahulu, Terence Naidu dalam satu kenyataan pada 15 Januari lalu mendakwa dihidangkan minuman ‘aneh’ sebelum ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Perai, Pulau Pinang kerana disyaki positif dadah.

Adun DAP itu berkata, beliau sebelum itu diundang bertemu kawan-kawan yang juga pelanggan perniagaan untuk perjumpaan dan makan sempena Tahun Baharu Cina.

Menurutnya, beliau membuat laporan polis sebaik sahaja dibebaskan dan menyatakan beliau terdedah kepada anasir yang mencurigakan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here