Mengenang enam dekad pemergian Datuk Onn Jaafar

0
3

HARI ini genap enam dekad Datuk Onn Jaafar meninggal dunia, namun jasa dan pengorbanannya kepada tanah air kekal hidup selamanya.

Kerinduan terhadap pemimpin yang sangat berjasa kepada negara itu dizahirkan cucunya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi Facebook hari ini.

Jelas Menteri Kanan Pertahanan itu, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan yang besar kepada negara dan ahli keluarga.

“Genap enam dekad hari ini. Namun jasa dan pengorbanannya. Kepada ahli keluarga. Dan demi tanah air tercinta. Tetap ‘bernyawa’. InsyaAllah, kekal ‘hidup’ buat selama-lamanya.

“Rindu yang tiada pengakhiran. Semoga sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT. Dan ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang diredhai. Damailah di sana. Allahyarham Onn Jaafar. Al-fatihah,” katanya.

Untuk rekod, Onn merupakan pengasas Umno meninggal dunia pada 19 Januari 1962 pada usia 67 tahun akibat serangan jantung.

Jenazah Allahyarham disemadikan bersebelahan makam bapanya, Allahyarham Datuk Jaafar Muhammad di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru, Johor.

Allahyarham merupakan seorang pejuang kebangsaan dan tokoh politik yang terulung di Tanah Melayu, yang berjaya meniupkan semangat kesedaran kebangsaan kepada orang-orang Melayu.

Beliau berjaya memimpin orang Melayu menentang dan seterusnya menumbangkan Malayan Union.

Allahyarham dipilih sebagai Presiden Umno yang pertama apabila pertubuhan itu ditubuhkan dengan rasminya pada 11 Mei 1946. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here