PROTECHEALTH Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengamal perubatan swasta (PPS) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan polisi ditetapkan termasuk aktiviti penjualan sijil vaksinasi Covid-19.
Dalam satu kenyataan hari ini, ProtectHealth menegaskan akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat PPS dan NGO kesihatan yang didapati melanggar SOP dan polisi ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“ProtectHealth sedaya upaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pihak berkepentingan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Semua PPS dibawah ProtectHealth adalah berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan fasiliti kesihatan mereka adalah berlesen dibawah KKM.
“Ini adalah syarat penerimaan ke dalam PICK bagi memastikan PPS dan NGO kesihatan adalah sahih dan termaktub dalam akta yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Menurut ProtectHealth, PPS dan NGO kesihatan juga diwajibkan menghadiri latihan sebelum dibenarkan memberi vaksinasi dan menerima garis panduan terkini secara berkala daripada ProtectHealth dan KKM.
“Bagi memastikan PPS dan NGO kesihatan melaksanakan perkhidmatan berkualiti dan mengikut SOP, audit rawak dilakukan secara berkala.
“Sebarang ketidakpatuhan berkaitan kualiti, ProtectHealth akan mengambil tindakan yang perlu dan mungkin menggantung PPS dan NGO kesihatan daripada melaksanakan vaksinasi dalam PICK,” katanya.
ProtectHealth memaklumkan, vaksin hanya diberikan melalui mekanisme terkawal oleh Pusat Simpanan Vaksin (PSV) kepada PPS dan NGO kesihatan mengikut kiraan janji temu yang dikeluarkan aplikasi MySejahtera.
“Semua vaksinasi direkodkan bersama nombor siri vaksin, pengenalan diri penerima dan pemberi vaksin,” katanya.
Pihak ProtectHealth turut menggalakkan orang ramai menjadi pemberi maklumat dengan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti menyalahi undang-undang dalam proses pemberian vaksin Covid-19.
“Ini boleh bertindak sebagai penghalang untuk mencegah sebarang penipuan dalam prosedur pemberian vaksin,” katanya. – Malaysiapost

