Najib kecewa 2 universiti terkenal pilih Indonesia, bukan Malaysia

0
2

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kecewa dengan pengumuman Massachusetts Institute of Technology dari Amerika Syarikat (AS) dan Universiti Tsinghua yang memilih Indonesia, bukan Malaysia untuk menubuhkan kampus universiti bersama.

MIT ialah sebuah universiti teknologi yang berada di tempat pertama dalam ranking universiti terbaik dunia oleh Agensi penarafan Quacquarelli Symonds (QS) manakala Universiti Tsinghua berada di kedudukan ke-17 peringkat global.

Menurut Najib, Malaysia sebenarnya mampu menjadi hab pendidikan antarabangsa dengan kewujudan universiti-universiti tersohor dari luar negara yang akan menambahkan lagi keyakinan pelajar terhadap negara ini.

Ini katanya, selaras hasrat kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu bagi menjadikan pendidikan berkualiti sebagai landasan untuk meningkatkan modal insan kreatif, inovatif dan berkemahiran tinggi yang akan meningkatkan daya saing negara.

“Dengan wujudnya kampus universiti-universiti antarabangsa di sini, ia membolehkan lebih ramai pelajar Malaysia belajar dengan kos lebih rendah.

“Kita juga boleh menjadi pusat bagi pelajar lain dari rantau Asia dan dunia untuk datang belajar di sini tanpa perlu pergi ke negara-negara lain,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, selaras hasrat tersebut, 11 kampus universiti antrabangsa telah ditubuhkan dalam tempoh beliau menjawat sebagai Menteri Pendidikan (1995-1999) atau sebagai Perdana Menteri.

Katanya, ratusan ribu anak Malaysia telah mendapat manfaat di samping menjimatkan kos pendidikan mereka.

“Tapi rancangan ini seperti telah terhenti selepas PRU14. Walaupun kita seteru politik, saya sangat menyambut baik kenyataan PM4/7 pada tahun 2018 bahawa Universiti Tsukuba Tokyo (ranking #285) berhasrat untuk mendirikan kampus di Selangor atau Kedah.

“Namun seolah-olah tiada lagi perkembangan baru sejak itu berkenaan rancangan Universiti Tsukuba tersebut.

“Jadi saya harap Menteri Pendidikan akan berusaha menarik Universiti Tsukuba dan lain-lain universiti terkenal dunia mendirikan kampus di Malaysia agar negara teruskan hasrat menjadi hab pendidikan antarabangsa serta menaikkan modal insan negara,” katanya.

Terdahulu media antarabangsa melaporkan dua universiti terkenal dunia itu merancang untuk bekerjasama membina kampus teknologi di Kampung Serangan di Denpasar, Bali. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here