Annuar Musa, kisah di sebalik 20 Ogos

0
1

SALAM semua. Hari ini saya mahu menulis tentang Tan Sri Annuar Musa. Sebelum saya meneruskan, ingin saya jelaskan artikel ini bukan arahan sesiapa. Sepanjang saya mengenali Annuar saya tidak pernah memohon projek ataupun beliau memberikan projek. Ketiga, Annuar tak pernah belanja saya makan di mana-mana restoran mahal atau murah, apatah lagi pergi melancong. Maka, saya tidak terikat dan bebas menulis. Saya tulis ini pun Annuar tidak tahu.

Tujuan saya ialah mahu menjelaskan di mana saya melihat segelintir pihak dalam Umno, khususnya di peringkat pertengahan memiliki pemikiran agak cetek.

Mereka yang menuduh dan menyerang konon Annuar pro Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY), tali barut Bersatu, konon tidak pro Umno, konon membelakang Presiden Umno dan sebagainya. Instrumen kajian mereka ialah sentimen analisis di medsos-medsos Umno Online dan yang sewaktu dengannya.

Baik mari saya cerita sedikit. Pada minggu-minggu terakhir hayat TSMY sebagai Perdana Menteri, Kerajaan Melayu-Islam ini boleh runtuh bila-bila masa dan Anwar Ibrahim/DAP/PH boleh kembali memerintah. Hanya kurang 5-6 MP sahaja yang boleh mereka pujuk.

Tetapi dua tiga hari sebelum Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (DSIS) dilantik menjadi Perdana Menteri, Annuar berjaya meyakinkan TSMY dan Bersatu supaya bersetuju melantik DSIS sebagai Perdana Menteri. Malam 19 Ogos 2021, sokongan itu sangat solid. Apa cara Annuar yakinkan TSMY dan kepimpinan Bersatu saya pun tidak faham.

Kemudian, 24 jam sebelum angkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Annuar berhubung juga DS Zahid Hamidi dan DS Najib Razak (DSN). Annuar berjaya meyakinkan Zahid dan Najib supaya menyokong DSIS sebagai PM.

Annuar bercakap dengan Najib, antara yang saya dengar, “Kita masing-masing mainkan peranan untuk perkukuhkan Umno. DSN dengan cara DSN, Zahid dengan cara Zahid, saya (Annuar) dengan cara saya”.

Kepada mereka yang tidak berada di barisan hadapan malam itu, kamu kena faham kalau ego sangat, berkeras sangat, apa kamu fikir Umno boleh menjadi Perdana Menteri? Apa kamu ingat Bersatu boleh kekal menyokong Umno dan DSIS sebagai Perdana Menteri?

Sepatutnya kita kena berterimakasih kepada Annuar kerana beliaulah satu-satunya pemimpin Umno yang sanggup “Do or Die” demi Umno kekal menjadi kerajaan dan Perdana Menteri. Annuar lah yang sanggup berkejar ke Istana Negara, jumpa kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad, meyakinkan Zahid dan Najib, bahawa inilah peluang untuk Umno menjadi kerajaan dan Perdana Menteri.

Menteri-menteri Umno yang lain hanya beruntung akhirnya mereka kekal menjadi menteri, tetapi menggerakkan kerajaan dan mengusahakan DSIS sebagai Perdana Menteri adalah kerja Annuar semata-mata.

Akhirnya, DSIS berjaya mendapat 114 sokongan solid tidak berubah walaupun medsos PH memainkan sentiment mereka memiliki 115 akuan sumpah. Annuar berjaya meyakinkan YDA dengan 114 sokongan hidup dan nyata.

Oleh yang demikian, saya mahu ahli-ahli Umno buka minda selepas membaca tulisan ini. Jika kamu mencari pejuang penyatuan Melayu dan Islam, Annuar lah orangnya. Jika kamu mencari pemimpin Umno yang ikhlas berjuang Annuar lah orang. Jika kamu mencari pemimpin yang sanggup berkorban dan terkorban demi parti, Annuar lah orangnya.

Kamu bayangkan, saya mengenali Annuar sudah bertahun-tahun, sat sen pun saya tidak pernah kena belanja, tetapi saya bangun mempertahankannya daripada fitnah.

Tidak lama lagi Perhimpunan Agung Umno memilih kepimpinan baru. Jika kamu tanya saya, di mana Annuar patut berada dalam Umno. Saya nak kata satu sahaja, berikan dia tempat yang sesuai supaya dapat membantu DSIS dan kerajaan dengan lebih berkesan. Bukannya letak Annuar di luar parti.
.
HAASBHK, Putrajaya
Penulis ialah ialah pemerhati politik yang turut terbabit dengan program kenegaraan

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here